Sejarah SK Pinji

SEJARAH SEKOLAH
Bangunan Sekolah Kebangsaan Pinji Ipoh (SK Pinji) telah dibina di atas tapak tanah lot 15696 seluas 18.626 ekar. SK Pinji dibuka dan memulakan sesi persekolahan pada 5 Jun 2002. SK Pinji mempunyai tiga blok bangunan A, B, dan C tiga tingkat.
Memulakan persekolahan dengan jumlah murid sebanyak 46 orang di bawah pengawasan ‘Care Taker’ En. Mohd Yusuf Ismail (Guru Kanan Pentadbiran) dan dua belas orang guru.
Berlandaskan iklim dan budaya sekolah yang dirancang semua warga sekolah berpegang pada kata penggerak ANJAKAN PARADIGMA MISI KECEMERLANGAN. Guru Besar pertama En. Lim Kwan Wah melapor diri pada 16 Ogos 2002. Berkhidmat sehingga 20 Disember 2002 dan bertukar ke ACS Ipoh. Selepas itu Pn. Naimah Jaafar, Guru Besar kedua pula melapor diri pada 30 Disember 2002.

Pada 1 Januari 2003 pula, sebuah Prasekolah telah dibuka dengan murid berjumlah 25 orang. Program Integrasi Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran telah dibuka dengan seramai 12 orang murid belajar di bawah pengawasan dua orang guru. Pada 1 Januari 2004, sebuah bangunan Pendidikan Khas setingkat telah siap dibina oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu Blok D.

Namun pada 1 Julai 2008, Pn. Naimah bt. Jaaffar telah meninggalkan warga sekolah SK Pinji kerana telah bertukar ke Sekolah Kebangsaan Panglima Bukit Gantang, Ipoh. Segala kenangan dan tunjuk ajar yang beliau tinggalkan kepada kami warga SK Pinji, tidak akan kami lupakan. Semoga beliau terus maju
dan berjaya di sekolah baru beliau. SK Pinji berada di bawah pentadbiran Guru Besar Puan Paridah bt. Abdul Karim, PPT. Beliau mula melapor diri pada 4 Julai 2008. Warga SK Pinji yakin dan percaya bahawa Pn. Paridah bt. Abdul Karim mampu menjadikan SK Pinji menjadi sekolah yang terus maju dan berjaya dalam melahirkan anak didik yang cemerlang dan gemilang dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan juga sahsiah.

Pada Disember 2008, sebuah blok bangunan baru Pendidikan Khas telah dibina untuk menampung kepadatan ruang bagi Bilik Akses dan Bilik PersediaanP & P.
Pada Mac 2009, sekolah telah menerima peruntukan untuk membaik pulih Bilik Wuduk dan pembinaan pentas tempat perhimpunan di dataran kejat. Bagi Pendidikan Khas pula, pembinaan laluan ‘Gajah Menyusur’ dan projek menutup semua longkang di sekeliling bangunan blok Pendidikan Khas telah siap pada Mac 2009. Pada tahun 2009 juga, sekolah ini telah dipilih dalam projek menaik taraf rangkaian internet di Makmal Komputer, Pusat Akses, Bilik Guru Besar dan menambah rangkaian ke Pejabat, Bilik Guru dan PSS.

Pada tahun 2010, dalam menuju kecemerlangan di samping mencapai Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), SK Pinji telah mengambil inisiatif menukar nama-nama kelas di SK Pinji supaya ianya menuju ke arah yang lebih kondusif dan berdaya saing kepada nama kelas Pintar, Bijak,Bestari, Cerdik,  Intelek, Dinamik dan Perkasa.

Dalam tahun 2011,  SK Pinji adalah dibawah Pentadbiran Pn. Hjh Umi Bt Othman. Kini, mulai 16.12.2011 SK Pinji adalah di bawah pentadbiran guru besar baru iaitu Pn. Norasikin bt Abdullah yang masih mengekalkan Visi sekolah iaitu “Melonjakkan Kecemerlangan Kurikulum, Kokurikulum, Sahsiah dan Imej Sekolah.

Tiada ulasan: